5. Sokongan Komuniti & Swasta

1.0 Pengenalan

Pemuafakatan dan perkongsian pintar amat penting bagi membawa kejayaan kepada sesebuah institusi pendidikan masa kini. Jalinan pemuafakatan yang strategik dan saling melengkapi antara sekolah dengan ibu bapa, antara sekolah dengan komuniti, dan antara sekolah dengan sektor swasta dapat menjayakan aspirasi pendidikan serta pembentukan generasi masa depan.


2.0 Mekanisme Pelaksanaan

Bagi merealisasikan hasrat ini, pihak swasta dan komuniti boleh memainkan peranan melalui dua mekanisme yang disediakan oleh KPM dalam menyokong pelaksanaan KBAT di sekolah.

2.1 Mekanisme Jangka Pendek

Mekanisme jangka pendek merupakan suatu platform untuk komuniti dan swasta memberi sumbangan atau sokongan aktiviti KBAT melalui sarana ibu bapa dan sekolah angkat.

2.1.1 Sarana Ibu Bapa
Inisiatif penglibatan Ibu Bapa dan Komuniti merupakan suatu inisiatif kebangsaan bagi meningkatkan penglibatan ibu bapa dalam pembelajaran anak-anak di dalam dan di luar sekolah. Antara aktiviti KBAT yang dapat dilaksanakan dalam Sarana Ibu Bapa adalah melalui aspek berikut:

• Penyediaan suasana pembelajaran di sekolah
• Interaksi sosial dengan anak-anak
• Komunikasi dengan anak
• Sokongan akademik

Ibu bapa digalakkan untuk melibatkan diri dalam Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah.

2.1.2 Sekolah Angkat
Sekolah Angkat merupakan sekolah yang telah dikenal pasti mendapat tajaan kewangan dan kepakaran daripada syarikat swasta, agensi kerajaan dan bukan kerajaan. Sekolah boleh menjalankan aktiviti yang dapat menerapkan KBAT dalam kalangan murid melalui program usaha sama dengan syarikat dan agensi yang terlibat. Antara syarikat dan agensi yang terlibat dalam Sekolah Angkat adalah Pintar Foundation, ASTRO, Malaysian Accounting Standard Board (MASB), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Khazanah Nasional.

2.2 Mekanisme Jangka Panjang

Dalam jangka masa panjang, KPM akan menyediakan Pusat Sehenti yang dikenali sebagai One-Stop Centre (OSC) bagi menyelaraskan permohonan sokongan daripada komuniti dan swasta antaranya program yang ditawarkan yang menyokong pelaksanaan KBAT. OSC adalah satu mekanisme yang beroperasi secara dalam talian. Ia dijangka akan memudahkan proses kelulusan permohonan komuniti dan sektor swasta, padanan tawaran komuniti dan sektor swasta dengan keperluan penglibatan mereka seperti yang dipohon oleh pihak sekolah, pemantauan pegawai operasi di peringkat Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri dan Kementerian, serta penghasilan pelaporan yang lebih sistematik, kerana semua perkara yang tersebut berlaku secara atas talian.

One-Stop Centre akan mengagihkan program yang melibatkan kemahiran KBAT oleh sektor swasta dan komuniti di sekolah seluruh negara setelah didapati memenuhi kriteria penawaran dan keperluan kedua-dua pihak iaitu antara komuniti atau sektor swasta dan sekolah. Agihan yang dibuat oleh OSC secara berpusat ini akan dapat:

• Merapatkan jurang antara sekolah (bandar, luar bandar, SBT, sekolah pencapaian sederhana)
• Menyokong pewujudan ekosistem sekolah ke arah pemikiran KBAT dalam aktiviti murid
• Menggalakkan penglibatan secara tekal oleh sektor swasta / komuniti dalam aktiviti pendidikan yang melibatkan elemen KBAT


3.0 Enam Bidang yang Menyokong Pelaksanaan KBAT oleh Komuniti dan Swasta

Bagi merealisasikan hasrat ke arah meningkatkan elemen KBAT di sekolah, sokongan daripada komuniti dan swasta akan disalurkan kepada enam bidang seperti dalam Jadual 1 di bawah.

Untitled-22

Untitled-19

Kesemua bidang yang disenaraikan amat berkait rapat dengan tujuh elemen KBAT iaitu kurikulum, pedagogi, pentaksiran, kokurikulum, sokongan komuniti dan swasta, bina upaya dan sumber.


4.0 Penutup

Dengan wujudnya mekanisme yang disediakan, peranan komuniti dan swasta memberi manfaat kepada kedua-dua pihak iaitu pihak swasta dan sekolah bagi memberi peluang kepada murid melibatkan diri dalam program KBAT.


RUJUKAN

Kementerian Pendidikan Malaysia.(2013) Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 (Pendidikan prasekolah hingga lepas menengah). KPM: Putrajaya.


Sumber : Elemen KBAT Dalam Sokongan Komuniti dan Swasta (2014) Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia. ISBN : 978-967-420-083-1

Leave a Reply

Your email address will not be published.