3. Pentaksiran

1.0 PENGENALAN

Pentaksiran adalah proses mendapatkan maklumat untuk mengetahui perkembangan dan pencapaian murid dengan menggunakan pelbagai kaedah dan pendekatan. Maklumat pentaksiran penting bagi membantu murid memahami tujuan belajar dan mengetahui kemajuan pembelajaran, meningkatkan motivasi dan keyakinan diri serta mengambil tindakan susulan. Melalui maklumat pentaksiran, guru boleh menilai keberkesanan PdP, menambah baik PdP dan merancang aktiviti tindakan susulan.

Pentaksiran yang holistik bagi seseorang murid merangkumi Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan peperiksaan. PBS terdiri daripada Pentaksiran Sekolah (PS) dan Pentaksiran Pusat (PP), Pentaksiran Psikometri (PPsi) dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK). Guru boleh mengenal pasti tahap penguasaan KBAT dalam kalangan murid melalui tiga bentuk pentaksiran iaitu PS, PP dan peperiksaan. Penulisan ini hanya memberi fokus kepada ketiga-tiga bentuk pentaksiran tersebut.


2.0 KBAT DALAM PENTAKSIRAN SEKOLAH

KBAT ditulis secara eksplisit dalam dokumen kurikulum. Perancangan dan pelaksanaan aktiviti PdP berasaskan KBAT hendaklah berpandukan kepada kandungan dokumen tersebut. Bagi mengetahui keberkesanan PdP dan pencapaian tahap penguasaan KBAT murid, Pentaksiran Sekolah (PS) dilaksanakan secara berterusan melalui latihan, ujian, ujian lisan, soal-jawab, kuiz, lembaran kerja, tugasan projek murid dan pemerhatian. Maklumat yang diperoleh daripada PS membantu guru dalam merancang dan melaksanakan tindakan susulan bagi meningkatkan keberkesanan PdP dan seterusnya tahap penguasaan KBAT dalam kalangan murid. Melalui PS, guru dapat mentaksir tahap penguasaan KBAT dalam kalangan murid dengan menggunakan konteks baharu, situasi sebenar dalam kehidupan harian, pelbagai soalan dan stimulus.


3.0 KBAT DALAM PENTAKSIRAN PUSAT DAN PEPERIKSAAN

Laporan PPPM menyatakan, soalan peperiksaan UPSR dan SPM tidak memberi tumpuan yang mencukupi untuk soalan aras tinggi, sebaliknya murid banyak diuji dengan soalan di tahap pemikiran tahu dan faham. Keadaan ini secara tidak langsung mempengaruhi guru menyediakan soalan dan aktiviti pdp yang lebih kepada penghafalan. Ini terbukti melalui keputusan murid yang kurang memuaskan dalam menjawab soalan Trends in Mathematics and Science Studies (TIMSS) dan The Programme for International Student Assessment (PISA) yang menguji kemahiran berfikir aras tinggi. Senario ini perlu diubah supaya guru dapat memberi tumpuan kepada soalan-soalan aras tinggi. Ke arah itu, peratus soalan KBAT dalam peperiksaan pusat UPSR dan SPM akan ditingkatkan secara berperingkat seperti di Rajah 1.

Untitled-4

Untitled-8

a) Contoh Item Kemahiran Berfikir Aras Tinggi

Penggubalan item KBAT hendaklah memenuhi keseluruhan atau sebahagian ciri-ciri dalam Rajah 2. Berikut adalah contoh item KBAT bagi mata pelajaran Matematik dan Bahasa Melayu.

1. Item KBAT bagi mata pelajaran Matematik UPSR

2.9.2 Contoh Item Kemahiran Berfikir Aras Tinggi

Contoh 7 : Matematik UPSR
Konstruk : Mengaplikasi dan Menganalisis
Konteks : Bentuk 2 Dimensi
Aras Kesukaran : Tinggi
Pengetahuan Sedia Ada : Ukuran standard

Rajah menunjukkan pelan sebuah kawasan taman yang dilukis di atas petak-petak segi empat sama yang bersisi 1cm.

Untitled-2

 

Aman ingin mengasingkan kedua-dua taman itu. Dia akan memagar keliling kedua-duanya. Aman telah ada 4 gulung pagar. Setiap gulung panjangnya 100 m. Antara berikut, yang manakah situasi yang Aman hadapi untuk menyiapkan pagar tamannya?
A Dia memerlukan 120 m pagar lagi.
B Dia masih memerlukan segulung pagar lagi.
C Dia memerlukan 6 gulung pagar untuk menyiapkan pagar tamannya.
D Dia ada ukuran pagar yang mencukupi untuk menyiapkan tamannya.

Sumber: Buku Pentaksiran KBAT (2013) Lembaga Peperiksaan, muka surat 98.

2. Item KBAT bagi mata pelajaran Matematik SPM

Contoh 13 : Matematik (SPM)
Konstruk: Mengaplikasi
Konteks : Sudut Dongak dan Sudut Tunduk
Aras Kesukaran : Tinggi
Pengetahuan Sedia Ada : Murid tahu mencari nilai sinus, kosinus, tangen dan sudut dongak/sudut tunduk.
Rajah 22 menunjukkan peta lakaran Gunung Kinabalu. Sekumpulan pelajar dari Kelab Kembara Universiti Malaya telah mengadakan ekspedisi pendakian ke Puncak Gunung Kinabalu.

Untitled-3

Dalam pendakian, mereka berhenti rehat di Carson Waterfall. Seorang pelajar mengikut sudut dongak puncak Gunung Kinabalu dari Carson Waterfall dengan menggunakan alat ‘Teodolit’ dan memberi bacaan 42.55°. Berapakah anggaran jauh pendakian yang perlu diteruskan, dalam m, dari Carson Waterfall untuk sampai ke puncak Gunung Kinabalu?

A 1552
B 2500
C 3116
D 3394

Sumber: Buku Pentaksiran KBAT (2013) Lembaga Peperiksaan, muka surat 110.

3. Item KBAT bagi mata pelajaran Bahasa Melayu SPM

Contoh 22 : Bahasa Melayu SPM
Konstruk : Mencipta
Konteks : Novel
Aras Kesukaran: Tinggi
Pengetahuan Sedia Ada : Murid telah mengkaji sekurangkurangnya dua buah novel.

Soalan: Novel
(a) Anda kurang bersetuju dengan kesudahan cerita sebuah novel yang telah anda kaji. Jelaskan pengakhiran cerita bagi novel tersebut sekiranya anda yang menjadi pengarangnya.

ATAU

Hasilkan suatu pengakhiran cerita yang anda fikir sesuai untuk novel tersebut.

(8 markah)

Untitled-5


4.0 Penutup

Pentaksiran KBAT di sekolah mestilah dilaksanakan secara terancang melalui PS, PP dan peperiksaan. Bagi memastikan pelaksanaan pentaksiran KBAT yang berkesan, guru hendaklah melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran berkaitan. Justeru, guru perlu bersedia untuk membuat pembaharuan, bersikap terbuka untuk membuat perubahan dan menerima pandangan orang lain serta berintegriti. Guru perlu mempunyai perspektif baharu dalam pentaksiran untuk menjayakan program pendidikan yang tidak semata-mata berfokuskan peperiksaan bagi melahirkan murid yang berdaya fikir aras tinggi untuk menyelesaikan masalah, membuat keputusan, berinovasi dan berupaya mencipta sesuatu.


RUJUKAN

Buku:
1. Kementerian Pendidikan Malaysia. (2013). Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025
2. Kementerian Pendidikan Malaysia. (2013). Pentaksiran Kemahiran Berfikir Aras Tinggi. Lembaga Peperiksaan Malaysia
3. Bloom’s Taxonomy Action Verbs muat turun pada 25 April 2014 di laman web http://
www.clemson.edu/assessment/assessmentpractices/referencematerials/documents

Laman Sesawang:
1. http://www.sac.sa.edu.au/Library/Library/Topics/thinking_skills/thinking.html
2. http://www.habitsofmind.org
3. http://pmr.penerangan.gov.my


Sumber : Elemen KBAT Dalam Pentaksiran (2014) Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia. ISBN : 978-967-420-084-8

Leave a Reply

Your email address will not be published.