4. Kokurikulum

1.0 Pengenalan

Dalam sistem pendidikan Malaysia, kokurikulum merupakan pelengkap kepada kurikulum sekolah Malaysia. Ini adalah kerana kurikulum dan kokurikulum merupakan dua elemen penting dalam program pendidikan sekolah Malaysia yang merangkumi pengetahuan, kemahiran, norma, nilai, unsur kebudayaan dan kepercayaan untuk menjana murid yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Kegiatan kokurikulum bermaksud kegiatan yang dirancang lanjutan daripada proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah yang memberikan murid peluang untuk menambah, mengukuh dan mengamalkan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang dipelajari di bilik darjah (Peraturan-peraturan pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997 seperti dalam Warta Kerajaan Jilid 42/No. 11 (Tambahan No. 41), Perundangan (A)/P.U.(A) 196,1998).

Kokurikulum juga merupakan kegiatan atau aktiviti selain mata pelajaran yang diajarkan dalam bilik darjah dan dianggap sebagai sebahagian daripada kursus pendidikan di sekolah seperti kegiatan dalam persatuan, sukan dan lain-lain (Kamus Dewan, 2002). Kokurikulum mempunyai peranan secara langsung dan tidak langsung dalam perkembangan potensi individu dari segi pemupukan integrasi nasional, membantu perkembangan hidup bermasyarakat dan pembentukan jati diri dalam kalangan murid. Ia dapat dilaksanakan melalui pemerolehan pelbagai kemahiran yang terkandung dalam aktiviti kokurikulum itu sendiri.


2.0 Pelaksanaan Elemen Kemahiran Berfikir Aras Tinggi dalam Kokurikulum

Kokurikulum merupakan antara elemen yang diberi fokus di dalam Pelan Inisiatif Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dengan matlamat untuk melahirkan modal insan yang berupaya mengaplikasi pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam membuat penaakulan dan refleksi bagi menyelesaikan masalah, membuat keputusan, berinovasi dan berupaya mencipta sesuatu. Pelibatan murid dalam aktiviti kokurikulum akan menyemai budaya kreatif dan inovatif dalam kalangan murid melalui kepelbagaian aktiviti yang dirancang dan dilaksanakan di luar bilik darjah dengan memberi penekanan kepada penyelesaian masalah dalam tugasan atau projek. Pendedahan awal dan kepelbagaian aktiviti secara kumpulan yang ada akan memberi peluang kepada murid untuk meneroka, mencuba dan membuat inovasi melalui sesuatu tugasan atau projek yang dipertanggungjawabkan. Hasil tugasan atau projek tersebut bukan sahaja memberi pulangan kepuasan cita rasa kepada murid tetapi juga dapat membuktikan murid dapat mencipta sesuatu yang baharu yang tidak pernah difikirkan sebelum ini. Kokurikulum mempunyai tiga bidang utama atau aktiviti iaitu kelab/persatuan, pasukan badan beruniform serta sukan dan permainan. Ketiga-tiga jenis aktiviti kokurikulum bertujuan mencapai aspirasi murid yang mana kemahiran berfikir merupakan salah satu daripada aspirasi tersebut (seperti rajah 1).

Untitled-10

Penerapan kemahiran berfikir secara terancang dan sistematik mengarah kepada penghasilan murid yang berfikiran aras tinggi. KBAT dalam kokurikulum membolehkan murid menggunakan pemikiran secara kreatif dan inovatif dalam menyelesaikan masalah atau menghasilkan sesuatu projek.

Elemen KBAT dalam kokurikulum boleh dilaksanakan melalui ketiga-tiga bidang aktiviti iaitu:

  1. Pasukan Badan Beruniform
    Pihak sekolah boleh menubuhkan unit beruniform mengikut keperluan setempat, kemudahan peralatan, jurulatih dan kemudahan sedia ada di sekolah.
  2. Sukan dan Permainan
    Bidang sukan dan permainan di sekolah boleh terdiri daripada permainan dan sukan tradisional seperti wau, gasing, congkak atau permainan dan sukan antarabangsa seperti bola sepak, badminton dan catur.
  3. Kelab/Persatuan
    Bidang persatuan dan kelab di sekolah boleh dikategorikan kepada dua iaitu:
    a. Persatuan dan kelab yang berasaskan mata pelajaran akademik.
    b. Persatuan dan kelab yang berasaskan minat, perkhidmatan, kecenderungan dan hobi.

3.0 Pendekatan Penyelesaian Masalah Lima Langkah

Pendekatan penyelesaian masalah merupakan kaedah pembelajaran berasaskan murid yang membolehkan mereka melalui pengalaman pembelajaran yang bermakna melalui penyelesaian masalah. Pendekatan ini melibatkan kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis, analitik serta kebolehan mengaplikasikan pemahaman dan pengetahuan kepada masalah baharu dan berlainan serta seterusnya mencari idea dan penyelesaian alternatif. Kaedah ini akan membantu murid membina pengetahuan yang fleksibel, kemahiran penyelesaian masalah yang berkesan, pembelajaran secara kendiri dan berkumpulan, kemahiran memperoleh maklumat serta kerjasama dalam pasukan yang berkesan. Selain itu, pendekatan ini juga akan membolehkan murid mengenal pasti apa yang mereka sudah tahu, apa yang mereka perlu tahu, bagaimana dan sumber untuk mendapatkan maklumat baharu yang membawa kepada resolusi penyelesaian masalah.

Peranan guru adalah sebagai fasilitator yang bertindak untuk memberi latihan dan bimbingan untuk memandu dan menggerakkan murid daripada apa yang mereka sedia tahu kepada pemahaman yang lebih mendalam. Guru juga harus membantu murid memudahkan pendekatan penyelesaian masalah dengan menyokong, membimbing dan memantau proses pembelajaran. Sebagai fasilitator, guru juga harus membina keyakinan murid, menggalakkan perbincangan untuk mentakrif masalah, menyumbang saran, memperjelas idea, menghuraikan idea dengan lebih lanjut, meneliti dan mengkritik idea, menyusun maklumat dan seterusnya menyelesaikan masalah.

Pelaksanaan KBAT berlaku apabila semua murid melalui proses Pendekatan Penyelesaian Masalah dalam melaksanakan aktiviti kokurikulum seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 2.

Untitled-12

Guru boleh memulakan pendekatan dengan memperkenalkan pendekatan penyelesaian masalah lima langkah dengan menerangkan “masalah” iaitu perkara yang didapati tidak memuaskan, belum sempurna, terdapat kesukaran, sesuatu yang perlu diubah atau tidak berjalan seperti diharapkan. Guru perlu menggalakkan interaksi antara murid dengan menggalakkan perbincangan untuk mengenal pasti masalah.

3.1 Langkah 1: Mengenal pasti masalah

Mengenal pasti masalah merupakan langkah awal penyelesaian masalah. Masalah yang dikenal pasti mestilah membantu murid memperoleh kemahiran baru yang akan digunakan untuk menyelesaikan masalah yang mungkin sukar untuk diatasi. Nyatakan masalah dalam bentuk naratif yang mengandungi beberapa maklumat yang membolehkan perbincangan aktif.

Contoh masalah yang dikenal pasti:

  1. Bagaimana membudayakan penggunaan tandas yang betul dan bersih di sekolah?
  2. Bagaimana mengatasi masalah murid lewat ke sekolah?

Contoh penyataan masalah:

Anda mempunyai seorang rakan yang mempunyai masalah penglihatan dan mempunyai kesukaran untuk membeli barang keperluan sendiri kerana asyik ditipu semasa membuat pembayaran. Bagaimana anda boleh membantu rakan anda untuk membeli barang keperluan dengan sendiri tanpa ditipu oleh sesiapa?

3.2 Langkah 2: Menganalisis masalah

Penyataan masalah yang kompleks memerlukan perbincangan dan dapatan pelbagai maklumat. Masalah tersebut perlu dicerakinkan kepada isu kecil supaya murid boleh mendalami masalah dan mendapatkan maklumat berkaitan masalah yang dikenal pasti. Senaraikan persoalan bagi penyataan masalah, contohnya:

  1. Apakah maklumat yang kita perlu tahu?
  2. Apakah keperluan yang diperlukan orang cacat penglihatan untuk memudahkannya mengenal pasti jumlah wang yang perlu dibayar?
  3. Apakah program yang boleh dilaksanakan bagi mengatasi masalah ini?

Persoalan ini akan membantu murid untuk mendapatkan maklumat secara perbincangan, pembacaan bahan rujukan, internet dan sebagainya.

3.3 Langkah 3: Fokus kepada masalah utama

Kenal pasti masalah utama yang paling mudah diselesaikan tetapi memberi kesan yang terbaik. Gunakan kaedah yang sesuai untuk menentukan masalah yang paling utama, mudah diselesaikan dan memberi kesan yang terbaik.

3.4 Langkah 4: Merancang Pelan Penyelesaian

Setelah murid mengenal pasti masalah yang perlu diselesaikan, mereka perlu merancang pelan penyelesaian untuk menyelesaikan masalah tersebut. Senaraikan persoalan yang boleh difikirkan untuk membuat rancangan pelan penyelesaian tersebut contohnya:

i. Apakah tugas yang perlu dibuat untuk menyelesaikan masalah?
ii. Bagaimana untuk melaksanakan tugas tersebut?
iii. Siapa yang akan melaksanakannya?
iv. Bilakah setiap tugasan patut disiapkan?

3.5 Langkah 5: Penambahbaikan pelan penyelesaian masalah

Langkah ini membolehkan murid membuat refleksi terhadap penyelesaian masalah yang telah dilaksanakan. Maklumat dan penemuan baru boleh disintesis kepada beberapa dapatan yang diperoleh seperti:

i. Murid boleh menganalisis masalah dan keperluan yang diperlukan oleh orang bermasalah penglihatan semasa berbelanja di kedai.
ii. Murid berupaya mencipta alat atau kaedah untuk memudahkan orang bermasalah penglihatan untuk menggunakan wang tunai dengan mudah dan betul.
iii. Murid mempunyai pelbagai idea menarik dan berkesan untuk mencipta keperluan berasaskan masalah.

Langkah ini juga membolehkan murid menilai kemahiran yang telah dipelajari dan membuat penambahbaikan kepada proses yang telah dilaksanakan. Senaraikan persoalan untuk membuat penambahbaikan seperti:

i. Apakah yang telah berjaya dilaksanakan?
ii. Apakah yang boleh ditambah baik?
iii. Persoalan lain?
iv. Idea penambahbaikan?

Pendekatan penyelesaian masalah akan membolehkan murid mempunyai kemahiran untuk menggunakan apa yang telah dipelajari dalam situasi lain (pemindahan pengetahuan), mengaplikasi pengetahuan sedia ada dan dipelajari dalam kehidupan mereka sebagai murid, ahli masyarakat dan anggota keluarga, mengaplikasi segala ilmu pengetahuan yang diperoleh dalam kursus yang berkaitan dengan projek-projek lain. Proses penyelesaian masalah ini juga akan menjadikan murid berupaya mengaplikasi pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam membuat penaakulan dan refleksi bagi menyelesaikan masalah, membuat keputusan, berinovasi dan berupaya mencipta sesuatu.


4.0 Program 1Murid 1Projek

Elemen KBAT dalam kokurikulum juga boleh dilaksanakan melalui program 1Murid 1Projek (1M1P) yang merupakan inisiatif Projek Inovasi Kelab dan Persatuan. Program ini diadakan bertujuan untuk menambah baik kegiatan kokurikulum dalam kalangan murid dengan menggalakkan pihak sekolah menganjurkan sebarang aktiviti berunsur inovatif dan kreatif dalam kegiatan persatuan dan kelab di sekolah rendah dan menengah. Program 1M1P melalui inisiatif Projek Inovasi Kelab dan Persatuan diadakan untuk meningkatkan KBAT dalam kalangan murid melalui Kelab dan Persatuan. Projek ini bermula pada Tahap II sekolah rendah yang melibatkan murid Tahun 4, 5 dan 6. Di peringkat sekolah menengah, projek ini melibatkan murid Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5. Murid sekolah rendah Tahap II akan melaksanakan satu projek secara berkumpulan manakala murid sekolah menengah, akan menyiapkan satu projek secara berkumpulan dan satu lagi projek kecil secara individu dalam tempoh tersebut. Pelaksanaan Program 1M1P mampu meningkatkan keupayaan belajar, menyelesaikan masalah dan menaakul serta mampu berfikir secara kreatif dan inovatif. Program ini juga dapat meningkatkan minat dan pelibatan murid secara aktif dalam aktiviti Persatuan dan Kelab dengan menyeronokkan.


5.0 Dokumentasi

Murid boleh menghasilkan dokumentasi aktiviti kokurikulum secara individu atau kumpulan dalam bentuk seperti Rajah 3:

Untitled-24


6.0 Penilaian Aktiviti

Penilaian aktiviti kokurikulum dilakukan secara berterusan sepanjang tahun bagi menilai pencapaian dan kebolehan murid dalam menyiapkan sesuatu aktiviti. Setiap proses kerja dan hasil kerja akan diberi penilaian dan akhirnya menyumbang markah keseluruhan kokurikulum. Penilaian dibuat berdasarkan ciri KBAT dalam Rajah 4.

Untitled-26

7.0 Contoh Aktiviti Berasaskan KBAT

Berikut adalah contoh penerapan KBAT dalam kokurikulum:

7.1 Contoh 1:

Persatuan/Kelab : Persatuan Bahasa Melayu
Tema : Bahasa Membina Bangsa
Tajuk : Memperkenalkan dan meningkatkan minat terhadap Sastera Melayu.
Masalah : Kurangnya pengetahuan dan minat dalam bidang sastera melayu seperti syair, gurindam, pantun dan seloka.
Cadangan/Alternatif :

• Menghasilkan kompilasi puisi/gurindam dalam pelbagai media.
• Mencipta syair/gurindam.
• Menterjemahkan puisi dalam bentuk lakonan.

Cadangan penyelesaian : Persembahan multimedia.
Jadual Kerja : Disediakan mengikut sesi perjumpaan.
Laporan dan Persembahan : Menyediakan laporan pendokumentasian projek.

Contoh 2:

Persatuan/Kelab : Kebudayaan
Tema : Pelbagai Budaya Mampu Membentuk Negara Harmoni
Tajuk : Memperkenal Tarian Zapin di peringkat luar negara.
Masalah : Mendapatkan peruntukan bagi menyertai tarian zapin di Indonesia.
Cadangan/Alternatif :

• Derma.
• Jualan.
• Mohon penajaan pakaian dan tiket daripada pihak luar.

Cadangan penyelesaian : Mengadakan pertunjukan pentas berbayar di peringkat sekolah dan komuniti.
Laporan dan Persembahan : Menyediakan laporan pendokumentasian projek dan menyertai pertandingan.


8.0 Penutup

Aktiviti kokurikulum berasaskan KBAT bermatlamat untuk melahirkan murid yang mempunyai pemikiran kreatif dan berinovasi. Semasa menjalankan aktiviti kokurikulum, murid mengemukakan dan berkongsi idea, mengaplikasikan kemahiran, menyelesaikan masalah dengan berkesan dan mengamalkan nilai murni. Penguasaan KBAT melalui kokurikulum mampu membentuk murid yang berupaya menghadapi cabaran, tekanan dan perubahan serta dapat membentuk individu yang kreatif, berimaginasi tinggi, mempunyai nilai dan boleh membuat pertimbangan yang logik. Murid dipupuk dengan kemahiran kepimpinan melalui aktiviti kokurikulum yang dijalankan.


RUJUKAN

1. Kementerian Pendidikan Malaysia (2013). Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025: Pendidikan Prasekolah hingga Lepas Menengah.
2. Kementerian Pendidikan Malaysia (2014). Panduan pelaksanaan projek inovasi: kelab dan persatuan sekolah.
3. Malaysia. 1998. Warta Kerajaan. Jilid 42/No. 11 (Tambahan 41) Perundangan P.U (A) 196.
4. Dewan Bahasa dan Pustaka (2002). Kamus Dewan. Edisi ke-3.


Sumber : Elemen KBAT Dalam Kokurikulum (2014) Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia. ISBN : 978-967-420-080-0

Leave a Reply

Your email address will not be published.