6. Bina Upaya

1.0 Pengenalan

Kemahiran berfikir bukanlah sesuatu yang baharu dan asing kepada guru dan pentadbir sekolah. Mereka telah didedahkan tentang konsep dan kaedah pelaksanaan kemahiran berfikir semasa mengikuti latihan keguruan dan kepimpinan sekolah. Guru telah dilatih dengan kemahiran berfikir apabila Kemahiran Berfikir Kritis dan Kreatif (KBKK) telah mula diperkenal dan dilaksanakan di sekolah mulai tahun 1994. Seiring dengan perkembangan pendidikan masa kini, timbul keperluan untuk memberi penekanan kepada Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Peranan guru sangat signifikan bagi menerapkan KBAT dalam kalangan murid. Justeru, guru perlu mempertingkatkan bina upaya mereka untuk melaksanakan KBAT secara berterusan dan bersungguh-sungguh supaya dapat melahirkan murid yang berfikiran aras tinggi.


2.0 KBAT dalam Bina Upaya

Bina upaya merupakan aktiviti yang mengukuhkan pengetahuan, keupayaan, kemahiran dan tingkah laku individu ke arah mencapai misi dan matlamat organisasi dengan cekap dan mampan. KBAT dalam Bina Upaya didefinisikan secara operasi sebagai suatu proses latihan pembangunan profesionalisme yang dilalui oleh guru untuk meningkatkan tahap kompetensi mereka dalam KBAT.

KBAT dalam Bina Upaya yang terancang dan sistematik membolehkan guru memberikan perkhidmatan terbaik ke arah mencapai keberhasilan murid yang berfikiran aras tinggi. Dalam kalangan guru, KBAT dalam Bina Upaya perlu dilaksanakan secara komprehensif, intensif dan berterusan melalui pelbagai kaedah seperti latihan, pembelajaran komuniti dan secara terarah kendiri. KBAT dalam Bina Upaya ini perlu dilestarikan bagi memastikan keupayaan guru dalam PdP sentiasa ditingkatkan.

Objektif Utama KBAT dalam Bina Upaya adalah untuk:

Untitled-15


3.0 Pelaksanaan KBAT dalam Bina Upaya Berasaskan Sekolah

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memperkenalkan konsep latihan dalam perkhidmatan berasaskan sekolah. Antara tujuan diperkenalkan konsep tersebut adalah bagi meningkatkan tahap profesionalisme guru berdasarkan keperluan sekolah, mengatasi masalah guru meninggalkan kelas dan melindungi masa instruksional di sekolah (MMI). Sehubungan dengan itu, KBAT dalam Bina Upaya guru boleh dilaksanakan berdasarkan konsep latihan seperti yang dinyatakan.

Konsep latihan dalam perkhidmatan berasaskan sekolah ini boleh dilaksanakan melalui tindakan berikut:

Untitled-10

Kesedaran untuk meningkatkan ilmu tentang KBAT perlu ada dalam diri seseorang bagi memastikan penerapan KBAT dapat ditingkatkan dengan lebih berkesan secara berterusan. Hasrat ini dapat dipenuhi melalui pelbagai kaedah latihan. Kaedah latihan yang pelbagai boleh dirancang dan diatur mengikut kesesuaian dan kebolehlaksanaannya sama ada di peringkat sekolah.

Dalam merancang latihan dalam perkhidmatan berasaskan sekolah, aspek-aspek seperti kebolehhadiran peserta, kesesuaian tempat dan masa, pemilihan penceramah dan fasilitator serta pengisian latihan perlu dikaji bagi memastikan matlamat dan objektif latihan tercapai. Terdapat pelbagai kaedah latihan dalam perkhidmatan berasaskan sekolah bagi melaksanakan KBAT dalam Bina Upaya seperti berikut:

Untitled-12

Lazimnya latihan dalam perkhidmatan dilaksanakan secara berpusat. Guru menghadiri kursus yang telah ditetapkan bagi meningkatkan profesionalisme mereka sendiri melalui aktiviti seperti bengkel, seminar, sesi pementoran dan bimbingan, taklimat dan Hari Profesional. Walau bagaimanapun, dalam usaha meningkatkan bina upaya diri dalam KBAT, guru digalakkan meningkatkan potensi dan kompetensi diri atas usaha serta inisiatif sendiri.

3.1. Pembelajaran Terarah Kendiri

KBAT dalam Bina Upaya secara terarah kendiri dilakukan atas usaha dan inisiatif sendiri tanpa menunggu dan mengharapkan penganjuran program atau aktiviti KBAT daripada pihak sekolah mahupun agensi luar. Antara aktiviti yang boleh dilibatkan adalah:

Untitled-14

3.2. Pementoran Dan Bimbingan

Guru mengambil inisiatif untuk mendapatkan khidmat pementoran dan bimbingan serta kepakaran daripada pentadbir, School Instructional Specialist Coach Plus (SISC+) dan guru cemerlang bagi memantapkan keupayaan dan kompetensi dalam melaksanakan KBAT. Pelaksanaan program ini perlu dirangka secara terancang oleh pentadbir di sekolah. Guru perlu merancang jadual untuk perbincangan mentor atau pembimbing bersama mentee (yang dibimbing) supaya program ini dapat berjalan dengan lancar dan berkesan serta dimanfaatkan sebaik mungkin.

3.3. Komuniti Pembelajaran Profesionalisme-KPP (Professional Learning Community-PLC)

KBAT dalam Bina Upaya boleh dilaksanakan melalui inisiatif KPP. Inisiatif KPP merujuk kepada amalan pembelajaran secara kolaboratif dalam kalangan pendidik untuk mencapai matlamat yang ditetapkan. Melalui KPP, guru boleh bertukar pendapat dan berkongsi pengetahuan serta pengalaman berkaitan KBAT bagi menyelesaikan masalah pembelajaran murid di sekolah. Antara aktiviti KPP adalah seperti Kelab Buku, Kumpulan Perbincangan, Kritik Video PdP, Learning Walks dan Lesson Study. Penglibatan dalam KPP dapat meningkatkan KBAT dan tahap profesionalisme dalam kalangan guru.

3.4. e-Pembelajaran

Bina upaya melalui e-Pembelajaran membolehkan guru meningkatkan ilmu dan kemahiran berkaitan KBAT. Melalui e-Pembelajaran, guru boleh mengikuti kursus KBAT dengan kadar kendiri, tanpa sempadan masa dan tempat. Kursus KBAT melalui e-Pembelajaran boleh dilaksanakan dengan alat peranti seperti komputer dan telefon pintar. Guru digalakkan menggunakan laluan ini untuk peningkatan profesionalisme dalam ilmu, kemahiran pedagogi dan pentaksiran penguasaan murid dalam KBAT. Di samping itu, e-Pembelajaran memberi peluang kepada guru untuk berkolaborasi dengan pendidik dan ahli akademik di dalam dan di luar negara.

Sebagai contoh, bagi membantu guru meningkatkan penguasaan KBAT melalui e-Pembelajaran, KPM telah membangunkan sistem aplikasi seperti Kursus i-THINK Dalam Talian (KiDT) di laman web https://www.ithinkonline.org.my. Di samping itu, guru boleh mengikuti kursus KBAT dalam talian melalui laman web seperti berikut:

• www.criticalthinking.org
• www.habitsofmind.org
• www.thinkbuzan.com
• www.thinkingclassroom.co.uk

Selain itu, guru boleh membangunkan satu repositori dan direktori bahan pembelajaran digital KBAT yang boleh dimanfaat oleh semua warga sekolah sekaligus membangunkan budaya berkongsi sumber KBAT dalam VLE Frog.


4.0 Peranan Pentadbir

Pentadbir memainkan peranan penting dalam membudayakan KBAT di sekolah. Sehubungan dengan itu, pentadbir sekolah perlu mempunyai ilmu dan kemahiran berkaitan KBAT sebelum mereka melaksanakan usaha untuk mengangkat kemahiran tersebut sebagai amalan dan budaya di sekolah. Ilmu dan kemahiran yang diperolehi dapat membantu pentadbir sekolah membuat pemantauan secara klinikal, bimbingan, pementoran dan penilaian bagi memastikan KBAT dilaksanakan dengan berkesan.

Pentadbir boleh memimpin pembudayaan KBAT melalui pembangunan organisasi secara menyeluruh menggunakan pengupayaan dalaman sekolah yang melibatkan seluruh warga sekolah dan komuniti setempat. Pentadbir menjadi penggerak untuk menginstitusikan pembudayaan KBAT dalam aktiviti sekolah.


5.0 Penutup

KBAT dalam Bina Upaya akan meningkatkan keupayaan dan keyakinan pentadbir sekolah dan guru untuk membudayakan KBAT di sekolah. Pendekatan bina upaya yang disyorkan adalah melalui latihan berasaskan sekolah secara terarah kendiri. Kejayaan KBAT dalam Bina Upaya mampu melahirkan murid yang berkebolehan untuk mengaplikasikan pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam membuat penaakulan dan refleksi bagi menyelesaikan masalah, membuat keputusan, berinovasi dan berupaya mencipta sesuatu.


RUJUKAN

  1. Kementerian Pendidikan Malaysia (2013) Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025
  2. Continuing Professional Development for School muat turun daripada http://www.rbkc.gov.uk pada 4 Nov 2014
  3. Elearning benefits of online courses for CPD muat turun daripada http://continuingprofessionaldevelopment.org pada 4 Nov 2014

Sumber : Elemen KBAT Dalam Bina Upaya (2014) Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia. ISBN : 978-967-420-081-7

Leave a Reply

Your email address will not be published.