7. Sumber

1.0 Pengenalan

Bahan sumber pengajaran dan pembelajaran (PdP) perlu mampu merangsang minat dan mencabar intelek murid. Bahan sumber yang interaktif mencabar murid untuk berfikir secara kritis dan kreatif serta menjana idea baru. Aplikasi bahan sumber yang kaya dengan unsur KBAT dalam PdP mampu mengupayakan perkembangan dan pengamalan kemahiran berfikir aras tinggi dalam kalangan murid. Bagi melaksanakan KBAT dengan berkesan, kandungan bahan sumber harus distruktur supaya dapat menzahirkan pengupayaan aplikasi pengetahuan, kemahiran dan nilai yang diperoleh oleh murid bagi membantu mereka menaakul, membuat refleksi dan seterusnya menyelesaikan masalah, membuat keputusan, melakukan inovasi serta mencipta. Pengisian kandungan bahan sumber perlu menyediakan peluang kepada murid berinteraksi dengan bahan melalui aktiviti pembelajaran yang mencabar murid mengaplikasikan KBAT.


2.0 Jenis Bahan Sumber

Bahan sumber dalam pelaksanaan KBAT melibatkan bahan sumber berstruktur dan tidak berstruktur. Bahan berstruktur terdiri daripada buku teks dan bahan digital yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Bahan tidak berstruktur pula terdiri daripada bahan seperti keratan akhbar, jurnal, majalah dan bahan dari internet yang disediakan oleh guru untuk PdP bagi meningkatkan KBAT murid.

Untitled-17

2.1 Bahan Sumber Berstruktur yang disediakan oleh KPM

KPM telah memperkenalkan perubahan kepada dasar perolehan dan spesifikasi cetakan buku teks dan bahan digital dengan menetapkan sekurang-kurangnya 20% kandungan dan aktiviti mempunyai unsur KBAT. Bahan digital adalah seperti bahan dalam VLE (Virtual Learning Environment) Frog, EduWeb TV (http://www.eduwebtv.com) dan bahan digital PdP (http://spp.moe.edu.my).

2.2 Bahan Sumber Tidak Berstruktur yang disediakan oleh guru

Selain kebergantungan kepada penggunaan buku teks dan bahan digital yang dibekalkan oleh KPM, guru boleh juga menyediakan bahan sumber KBAT dengan menggunakan bahan daripada pelbagai sumber lain seperti buku, video, akhbar, laporan lawatan lapangan, jurnal, Internet dan majalah. Penyediaan bahan sumber secara kendiri oleh guru menuntut mereka menjadi lebih kreatif dalam memilih bahan, menyusun kandungan dan merancang aktiviti PdP bagi memenuhi objektif pembelajaran.

2


3.0 Pembangunan bahan sumber KBAT

Guru digalakkan membangunkan bahan sumber KBAT secara kendiri berdasarkan kesesuaian tahap dan kebolehan murid. Pemilihan dan penghasilan kandungan suatu bahan sumber perlu memberi pertimbangan kepada perkara berikut:

Untitled-4

Bahan sumber KBAT sahaja tidak boleh menjamin kejayaan pelaksanaan KBAT dalam PdP. Perancangan yang berstruktur dan terarah diperlukan bagi menjelmakan KBAT secara eksplisit dalam PdP. Bahan sumber KBAT yang mempengaruhi strategi bilik darjah juga menyokong proses berfikir secara aktif dalam kalangan murid untuk menjamin PdP dilaksanakan dengan berkesan. Bahan sumber PdP yang mengandungi unsur KBAT mengupayakan murid untuk menjalani pengalaman pembelajaran yang lebih bermakna. Ini kerana bahan sumber tersebut menggalakkan murid untuk mencetus idea asli, menjalani pengalaman pembelajaran dalam konteks dunia sebenar dan membuat hubung kait kandungan kurikulum dengan isu semasa. Guru boleh juga merujuk kepada trend pendidikan global yang menyokong kepada pembangunan bahan sumber KBAT. Terdapat pelbagai laman web, portal dan ruang sembang (chat room) yang boleh diakses bagi membantu guru berkongsi amalan terbaik PdP KBAT. Antara laman web yang boleh dirujuk ialah:

Untitled-6

Rujukan untuk penghasilan bahan sumber KBAT bukan hanya terbatas kepada senarai di sebelah sahaja. Selain senarai di sebelah, terdapat banyak lagi laman web, portal pendidikan dan aplikasi media sosial yang turut menganjurkan penerapan KBAT dalam PdP untuk rujukan guru. Guru juga digalakkan mewujud dan mengembangkan jaringan sesama mereka melalui pelbagai aplikasi web, portal dan media sosial sebagai medan untuk berkongsi amalan terbaik penghasilan dan pembangunan bahan sumber KBAT dalam PdP.


4.0 Penutup

Aplikasi bahan sumber KBAT dalam PdP boleh membantu guru menerapkan kemahiran berfikir aras tinggi dalam kalangan murid. KPM telah mengambil inisiatif menyediakan bahan sumber berstruktur melalui penyediaan buku teks dan bahan sumber digital yang kaya dengan kandungan KBAT. Selain aplikasi bahan berstruktur ini, guru juga digalakkan untuk membangunkan bahan sumber yang boleh mengupayakan KBAT dalam PdP. Rujukan melalui pelbagai sumber seperti internet, media cetak, bahan digital dan lain-lain sumber boleh digunakan bagi membantu guru membangunkan bahan sumber KBAT. Bahan sumber KBAT perlu disesuaikan dengan pendekatan pedagogi yang menyokong KBAT merupakan satu formula yang amat berkesan dalam merangsang dan seterusnya membudayakan KBAT dalam kalangan murid.


RUJUKAN

1. Bruner, J. S. (1983). In search of mind: Essays in Autobiography. New York: Harper & Row
2. Kementerian Pendidikan Malaysia (2013) Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025
3. Williams, R. Bruce. (2003). Higher Order Thingking Skills: Challenging All Students to Achieve. Thousand Oaks.CA Corwin Press.

Laman Sesawang

1. Examples that Promotion Higher Order Thinking Skills http://teaching.uncc.edu
2. A Guide to Using Free Apps to Support Higher Order Thinking http://learninginhand.com
3. Higher Order Thinking http://www.pinterest.com
4. Higher Order Thinking Skills http://www.mcsk12.net

Untitled-7


Sumber : Elemen KBAT Dalam Sumber (2014) Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia. ISBN : 978-967-420-085-5

Leave a Reply

Your email address will not be published.